Perutusan Ketua Pesuruhjaya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdullilah syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat kita bersua di platform maya ini.

Saya mengucapkan selamat datang kepada semua pengunjung dikasihi yang melayari portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini.

Umum mengetahui, pada era digital ini,?medium dalam talian merupakan wadah terbaik bagi mendekati masyarakat selain menjadi kaedah utama dalam menyampaikan maklumat-maklumat penting.

Dalam norma baharu, interaksi secara maya telah menjadi amalan lazim dan jambatan penghubung dalam perkongsian maklumat. Pelbagai maklumat boleh diakses oleh sesiapa sahaja, namun perlulah diperolehi dari sumber yang sah.?

Sehubungan itu, SPRM sentiasa berusaha memastikan portal ini sebagai pemudah cara serta menjadi pilihan utama kepada masyarakat di luar sana memperoleh rujukan maklumat dengan cara yang mudah, tepat dan berkesan.

Justeru, bermula 1 Februari 2021, SPRM telah memperkenalkan ciri-ciri baharu dalam portal berkenaan bagi kemudahan semua pelayar mendapatkan atau menyampaikan segala maklumat berkaitan SPRM.

Rekabentuk portal kali ini lebih kemas dan sistematik sesuai dengan konsep mesra pengguna. Kandungannya juga telah disusun lebih teratur agar pelayar mudah mencapai segala maklumat penting di portal.

Bagi memudahkan pelayar jua, terdapat laman strategi yang diasingkan kepada tiga paparan iaitu penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan. Selain itu, senarai perkhidmatan dalam talian SPRM telah ditempatkan dalam satu paparan.

Bukan itu sahaja, menerusi portal ini juga pelayar juga boleh akses kepada media sosial rasmi SPRM seperti Facebook (SPRM.Benci.Rasuah), Twitter (sprmmalaysia), Instagram (sprm.my) dan Youtube (MACCtube) yang disatukan sebagai one stop centre media sosial.

Akhir kata, besarlah harapan saya agar Suruhanjaya ini terus diberikan sokongan oleh segenap lapisan masyarakat serta ruang kepada kami untuk melaksanakan tugas dengan bebas, telus dan profesionalisme tanpa prejudis.

Selamat melayari portal SPRM.

Sekian.

Rasuah Dihina Maruah Dibina

Datuk Seri Azam Baki
Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)